Obama hantar 17,000 askar ke Afghanistan
Langkah stabilkan keamanan di negara kian bergolak
WASHINGTON: Presiden Barack Obama semalam meluluskan penempatan seramai 17,000 tentera Amerika Syarikat ke Afghanistan sambil menyifatkan ia perlu untuk menstabilkan keamanan yang semakin merosot di negara itu.
"Tiada tugas paling serius sebagai Presiden selain membuat keputusan untuk menempatkan pasukan bersenjata kita dengan cara itu," kata Obama dalam satu kenyataan.
Obama berkata perintah berkenaan adalah sebagai jawapan kepada permintaan sebulan lalu oleh komander Amerika Syarikat di Afghanistan, Jeneral David McKiernan yang meminta tambahan 30,000 tentera.
Presiden itu berkata bagi memenuhi keperluan keselamatan yang segera, beliau meluluskan satu permintaan oleh Setiausaha Pertahanan, Robert Gates untuk menempatkan Marine Expenditionary Brigade musim bunga ini dan Army Stryker Brigade serta pasukan sokongan akhir musim panas ini.
Ditanya mengenai kemungkinan arahan selanjutnya pada masa depan untuk menambah tentera lagi, seorang pegawai kanan pentadbiran memberitahu AFP bahawa ia tidak mungkin berlaku sebelum kajian menyeluruh strategi Amerika Syarikat di Afghanistan dan Pakistan disempurnakan.
"Penambahan terbaru itu penting pada masa ini kerana kami menjangka pertempuran akan meningkat pada musim bunga dan sempena pilihan raya akan datang," kata pegawai berkenaan yang enggan mendedahkan nama.
0 ulasan:
Post a Comment