Followers

Sembang-Sembang


ShoutMix chat widget

Malaysia antara 10 tertinggi ambil arak di dunia

Penulis Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Biarpun mempunyai bilangan rakyat hampir 26 juta sahaja, namun Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi dalam pengambilan arak di dunia, kata Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar).

Mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat lewat petang ini, beliau berkata, rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.

"Penjualan beer berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun," dedahnya lagi sewaktu membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun semakin meningkat iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.

Antara faktor peningkatan itu, jelasnya kerana mungkin arak jenis beer sangat mudah diperolehi di kedai-kedai.

Lebih membimbangkan apabila pendedahan arak dibuat di peringkat umur yang lebih awal.

Beliau sewaktu mengemukakan satu kajian, 19 peratus di kalangan pelajar sekolah menengah mengaku pernah meminum arak, manakala 1 peratus mengaku mengambilnya secara berterusan.

"Dalam satu kajian yang dilakukan ke atas pesakit yang dimasukkan ke hospital KL pada tahun 1993, 48 peratus daripada yang ditanya mengaku minum arak.

"Satu pertiga ketagih arak, 61 peratus adalah Cina, 60 peratus India dan 30 peratus Melayu,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kerajaan dilihat tidak memberi perhatian sewajarnya kepada isu ketagihan arak dan sering mengatakan ianya isu kaum India.

Arak juga jelasnya, dibuktikan bukan sahaja membahayakan kesihatan dan menyebabkan gejala sosial, namun kos rawatan penyakit disebabkan arak juga lebih tinggi berbanding pendapatan penjualannya.

"Negara kita dalam fasa lima mengaku bahawa Islama adalah agama Persekutuan, apakah menyebabkan dadah kita panggil najis dan sekiranya didapati mengedar dadah boleh dihukum gantung sampai mati.

"Tapi minuman keras, nikotin pada rokok, diberi layanan yang lain dan boleh didapati dengan berleluasa. Atas alasan apakah minuman keras tidak dimasukkan sekali dalam akta dadah merbahaya sedangkan kesannya atas kehidupan rakyat begitu meluas sekali," soalnya lagi.

Trend di Asia, katanya menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun berbanding trend di negara Eropah yang semakin menunjukkan penurunan akibat kempen mereka yang agresif.

Peningkatan di negara ini juga, jelasnya akibat undang-undang terlalu longgar seperti Akta Aksais Seksyen 32 (1)(a) dan (b) mengecualikan penjualan todi dan beer dalam tin dan botol.

"Apabila saya menang di Kota Raja, saya didatangi sekumpulan India dari golongan pertengahan dan rendah.

"Mereka meminta tolong saya supaya memastikan arak dan todi tidak dijual secara mudah di kedai-kedai runcit," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, arak dan todi di kedai-kedai runcit pada waktu ini boleh diperolehi dalam plastik dengan harga RM2 atau RM3.

sumber: harakahdaily.net

Jenama pilihan di seluruh dunia

PENDERITAAN dan kesengsaraan rakyat Jepun akibat Perang Dunia Kedua menyebabkan rakyat negara tersebut menyimpan keazaman untuk bangkit daripada sejarah hitam.

Perang Dunia Kedua merupakan peperangan paling dahsyat dalam sejarah dunia moden apabila ia mengakibatkan kerosakan harta benda dan mengorbankan kira-kira 50 juta nyawa.

Perang Dunia Kedua itu melibatkan Kuasa Bersekutu (perikatan negara-negara Komanwel, Perancis, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Soviet dan China) serta Kuasa Paksi (perikatan negara-negara Jerman, Itali, dan Jepun).

Bagaimanapun, Perang Dunia Kedua mencatatkan sejarah tersendiri apabila ruang udara dan senjata nuklear digunakan buat kali pertama.

Lebih malang, senjata nuklear telah digunakan dua kali dalam pertempuran semasa Perang Dunia Kedua oleh AS iaitu di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun sehingga meninggalkan kesan mendalam terhadap penduduk negara Matahari Terbit itu.

Rentetan daripada detik hitam itu, sektor teknologi menjadi matlamat pembangunan ekonomi Jepun.

Kegigihan dan sikap tidak mudah putus asa rakyat Jepun bukan sahaja menjadi pendorong kepada mereka melakar nama dalam teknologi bahkan memartabatkan Jepun sebagai salah sebuah negara Asia moden hari ini.

Rakyat Jepun juga boleh berbangga kerana mereka menjadi antara salah satu pengeluar terbesar automotif dunia.

Sejarah automotif di Jepun bermula sejak 1902 apabila Shintaro Yoshida dan Komanusuke Uchiyama berganding bahu dalam perniagaan kecil yang dinamakan Automobile Company atau Otomobiru Shokai yang menghasilkan kereta percubaan dua lejang dengan enjin AS 12 kuasa kuda.

Usaha tersebut diteruskan oleh Torao Yamaba yang menghasilkan automobil wap dua lejang manakala syarikat milik Masujiro Hashimoto telah membangunkan kereta dinamakan Dattogo pada 1912. Kesemua kereta itu adalah kereta percubaan.

Evolusi automotif dari Jepun bermula sebagai pembuat kenderaan secara besar-besaran selepas Perang Dunia Kedua. Dua syarikat gergasi Toyota dan Honda merupakan antara pengeluar yang produktif menghasilkan kenderaan penumpang agar dapat menguasai pasaran besar di seluruh dunia.

Model Corolla dan model Civic pertama pada penghujung 1970-an merupakan detik permulaan penghasilan besar-besaran kenderaan penumpang pada masa itu.


WARGA Jepun bangga dengan pencapaian automatif mereka kerana kenderaan yang dikeluarkan mendapat kepercayaan masyarakat antarabangsa.


Matlamat utama pembuat kereta ini ialah untuk menghasilkan jumlah kenderaan dalam kapasiti besar agar dapat mengurangkan kos dalam pembikinannya.

Kenderaan itu juga dibuat dalam keadaan paling asas iaitu penciptaan enjin yang ringkas tetapi ekonomikal. Berat kenderaan dikurangkan, sistem suspensi dan pengendaliannya sekadar mencukupi untuk pasaran Asia.

Rahsia kejayaan

Dalam pada itu, kejayaan sektor automotif negara tersebut juga banyak berkait rapat dengan dasar dan pelaksanaan yang sentiasa dikemaskini mengikut keperluan semasa oleh kerajaan Jepun.

Ini dibuktikan apabila pihak kerajaan sentiasa mengambil inisiatif menerusi perbincangan dengan pengeluar-pengeluar besar industri automotif untuk mengemaskini peraturan sedia ada agar kereta yang dihasilkan murah untuk dimiliki oleh rakyat Jepun dan selamat sebelum kenderaan tersebut dibenarkan berada di jalan raya.

Jepun merupakan antara negara pengeluar automotif dunia yang menjual kenderaan mereka pada harga paling rendah malah jenama kenderaan milik syarikat automotif Jepun digemari dan menjadi pilihan di seluruh dunia.

Antara jenama-jenama terkenal yang berjaya menembusi pasaran dunia termasuk Toyota, Honda, Mazda, Suzuki, Yamaha, Daihatsu, Hino dan banyak lagi.

Dengan menerapkan konsep pengeluaran besar-besaran menjadikan model bukan eksport atau dikenali sebagai JDM (Japan Domestic Market) sebagai penjana ekonomi domestik mereka.

Konsep yang dipraktikkan itu jelas membawa kejayaan kerana kenderaan yang dijual lebih banyak bagi menyokong pengilang utama.

Selepas tiga atau lima tahun, ia akan dijual semula kepada pelelong kereta untuk dieksport ke negara-negara lain sebagai kereta import terpakai dan bukan menjadi budaya Jepun membeli kereta terpakai.


PRIUS kenderaan penumpang paling laris di Jepun tidak terkecuali daripada krisis penarikan semula di pasaran antarabangsa kerana masalah brek.


Dengan konsep kereta yang ekonomikal dan menjimatkan Jepun cuba memasuki pasaran AS dalam meluaskan lagi pasarannya tetapi label kereta kelas ketiga telah menyukarkan mereka.

Begitupun, syarikat pengeluar automotif Jepun telah menggantikan nama kereta mereka kerana jenama memainkan peranan penting agar mereka dapat menembusi pasaran di AS. Toyota seumpamanya telah diganti dengan nama Lexus manakala Honda ditukar nama Acura.

Percaturan syarikat-syarikat pengeluar itu berjaya menarik minat penggemar automotif di AS sekali gus melonjakkan jenama mereka di persada dunia.

Dalam mengembangkan lagi jenama mereka di pasaran dunia pengeluar automotif itu turut menjalinkan kerjasama dalam memindahkan teknologi dan kemahiran kejuruteraan mereka agar penjualan di dalam dunia dapat melonjak tinggi.

Keselamatan pelanggan

Pengeluar-pengeluar automotif Jepun tidak hanya menumpukan kepada kenderaan penumpang konvensional sahaja tetapi turut membangunkan kenderaan mewah dan sport.

Dengan reka bentuk menarik, terkini dan dilengkapi teknologi canggih kereta-kereta yang dibangunkan itu mula menjadi kegilaan kepada penggemar kereta di seluruh dunia.


SEORANG mekanik memeriksa pedal gas kenderaan sport-utility (SUV) RAV4 Toyota di cawangan wakil pengedar kenderaan tersebut di Shanghai, China.


Pada masa yang sama, pengeluar-pengeluar itu juga tidak terkecuali membangunkan kereta-kereta hibrid yang mesra alam dalam memberi sokongan kepada penjagaan alam sekitar dan pemanasan global melanda dunia hari ini.

Bagaimanapun, kejayaan industri automotif Jepun digemparkan dengan penarikan semula jutaan kereta Toyota akibat kerosakan pedal minyak dan brek di seluruh dunia manakala syarikat Honda mengumumkan penarikan balik sejumlah kereta kerana masalah beg udara keselamatan.

Presiden Toyota, Akio Toyoda berasa amat kesal ekoran penarikan semula jutaan kereta buatannya di seluruh dunia kerana kerosakan pedal minyak selain menegaskan bahawa kenderaan syarikat itu adalah selamat.

Toyota mengaku pihaknya kini berdepan krisis tetapi menganggap keselamatan pelanggan amat penting. Toyota berjaya mengatasi syarikat General Motors pada 2008 untuk menjadi pengeluar kereta terbesar dunia kini berdepan dengan isu kualiti produk yang dikeluarkannya.

"Percayalah, kereta Toyota adalah selamat. Pelanggan didahulukan merupakan keutamaan kami, percayalah," kata cucu pengasas syarikat itu.

Beliau menambah, Toyota telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman bagi mengkaji masalah itu yang menyebabkan AS dan Kongres AS meningkatkan tekanan ke atas syarikat Jepun.

"Berhubung masalah penarikan pedal minyak di AS, Eropah dan China, kerja-kerja persediaan pembaikan sedang dilakukan di pusat-pusat pengedaran kami," kata Toyoda

Ujarnya, Toyota sedang melakukan kajian bagi mengkaji cara untuk menyelesaikan masalah brek Prius hibrid berikutan terdapat ratusan aduan daripada pemandu.

Katanya, bagi kereta-kereta Prius yang kini berada pada tangan pelanggan, beliau mengarahkan supaya satu penyelesaian dilakukan dengan segera.

Beliau juga dilaporkan telah meminta maaf kerana penarikan balik jutaan kereta buatannya di seluruh dunia akibat masalah pedal minyak dan brek.

Walaupun krisis sedang melanda syarikat automotif Jepun, kereta-kereta keluaran syarikat ini terus mendapat sambutan daripada pengguna seluruh dunia.

Ia mungkin disebabkan harganya yang murah berbanding dengan kereta Eropah, ekonomikal, reka bentuk menarik dan pelbagai faktor lain mendorong orang ramai memilih kereta jenama Jepun.

sumber: akhbar kosmo

Mahasiswa boleh kritik kerajaan- Saifuddin

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar sentiasa memperbetul setiap perkara yang dilihat salah bukan sahaja di universiti malah dalam pentadbiran negara.

Bercakap dalam satu forum anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Fakulti Sastera Sains Sosial Universiti Malaya malam tadi, Saifuddin berkata, ianya memerlukan keberanian dalam diri setiap mahasiswa dan mereka harus bertindak secara berjemaah.

Mahasiswa juga tegasnya boleh melontarkan kritikan kepada kerajaan dan kerajaan pula tidak seharusnya melabelkan pengkritik sebagai pembangkang.

"Mahasiswa boleh mengkritik Kerajaan, dan Kerajaan tidak boleh cop pengkritik sebagai pembangkang," katanya di hadapan lebih 150 mahasiswa yang hadir.

Menyentuh mengenai sudut pidato yang dihidupkan semula di IPT selepas 20 tahun ianya dihentikan, Saifuddin berkata, sudut pidato merupakan satu platform yang sesuai untuk mahasiswa melontarkan idea mereka melalui pengucapan awam.

Bagaimanapun, beliau yang mengakui mahasiswa mempunyai potensi untuk menggugat pentadbiran universiti mahu Hal Ehwal Pelajar (HEP) agar meletakkan halatuju yang betul dan memahami matlamat sudut pidato dihidupkan semula.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak universiti tidak mengenakan terlalu banyak peraturan terhadap penuntut yang ingin membuat pengucapan awam di sudut pidato sebaliknya memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk mengendalikannya.

"Apa maksud mahasiswa menggugat? Mengugat apa? Menteri? Organisasi, HEP, atau KPT?Amalan buruk, rasuah, kebejatan, kebobrokan?

"Melalui sudut pidato. mahasiswa ada potensi menggugat. Sebab itu HEP perlu ada halatuju yang betul dan faham matlamat sudut pidato. Tak perlu banyak undang-undang dan arahan dalam sudut pidato. Biarkan mahasiswa bebas mengendalikan sudut pidato.

"Mahasiswa boleh berfikir dan menentukan halatuju kampus sendiri," katanya.

Sudut pidato kembali diwujudkan di UM selepas lebih 20 tahun ia diharamkan apabila Akta kolej dan Universiti (AUKU) diperkenalkan.

Dua lagi panelis forum 'Mahasiswa Menggugat: Antara Realiti dan Fantasi' itu, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof. Dr. Redzuan Osman dan bekas bekan fakulti berkenaan, Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar yang juga penulis buku 'Mahasiswa Menggugat'.

MANUSIA MELAYU DENGAN KRISIS NILAI

Saya selalu mendengar ucapan-ucapan para politikus tentang betapa berbudi bahasanya manusia Melayu ini. Saya juga ada membaca dalam kitab dan buku-buku lama tentang nilai nilai indah manusia Melayu. Malah ada si polan dan si polan yang tanpa segan silu dan tanpa selidik yang dalam telah berani mengakui bahawa manusia Melayu - satu satunya manusia di dunia ini yang besopan santun dan berbudi bahasa.

Memang betul – ada kebenaran kenyataan ini. Manusia Melayu lima puluh tahun dahulu bersopan santun dan berbudi bahasa. Memang betul manusia Melayu tiga puluh tahun dahulu memiliki nilai kemanusiaan yang kukuh. Tetapi hari ini semuanya telah berubah dan bertukar. Sadikit demi sadikit nilai budi bahasa sopan santun manusia Melayu itu telah berubah.

Perubahan ini muncul kerana asas sistem ekonomi manusia Melayu itu berubah. Dari masyarakat feudal yang berasaskan ekonomi pertanian manusia Melayu telah memasuki ke alam ekonomi kapitalis. Perubahan ini tidak dapat tidak telah juga mengubah pembudayaan manusia Melayu itu sendiri.

Satu ketika dahulu kenduri nikah kahwin adalah kerja bergotong royong untuk sanak saudara dan jiran sekampong – kini semuanya dijalankan oleh kontrektor. Tenaga dan masa yang satu ketika dahulu melimpah ruah dan diberikan secara percuma kini – masa dan tenaga - telah di ukur dengan nilai wang ringgit. Justeru kita tidak akan hairan kadangkala upacara keagamaan juga memerlukan perbayaran. Iman dan Tok Kadi kini perlu dibayar untuk doa dan kehadiran mereka. Tiga puluh tahun dahulu mustahil pekara ini berlaku.

Peralihan dari sistem ekonomi semi feudal ke semi kapitalis ini telah didatangkan dengan mendadak. Peralihan ini bukan satu evolusi – sadikit demi sedikit. Ianya adalah sebahagian dari nilai budaya Dasar Ekonomi Baru yang diajukan oleh kerajaan United Malays National Organisation bermula dari tahun 1970. Dalam masa tiga puluh tahun manusia Melayu kampong berubah untuk menjadi manusia Melayu bandar. Dari suasana kampong yang aman permai manusia Melayu telah di lambakkan ke dalam kota dan pekan yang hiruk piruk dan penuh dengan persaiangan.

Peralihan dari ekonomi semi feudal ke semi kapitalis ini adalah perjalanan sejarah ekonomi kapitalis. Ini adalah hukum perjalanan ekonomi kapitalis yang beralih dari satu bentuk ke satu bentuk yang lain. Ini bukan menghairankan. Apa yang menjadi masaalah disini ialah proses peralihan ini datang mendadak kepada manusia Melayu. Dalam masa satu jenerasi – tiga puluh tahun - kaum tani Melayu telah berubah dari bercucuk tanam untuk menyara hidup kepada penjual tenaga untuk membeli makanan.

Ekonomi wang ringgit yang dipekenalkan oleh sistem kapitalis ini telah membawa nilai-nilai baru. Manusia Melayu kini berhadapan dengan gelombangan pasang surut ekonomi kapitalis dunia. Manusia Melayu tidak lagi tinggal bersendirian dalam tempurong suasana kampong yang aman permai.

Perubahan mendadak ini telah melahirkan kekacauan budaya. Ianya juga melahirkan kekacauan nilai. Ianya juga melahirkan kekacauan jati diri. Ketiga-tiga kekacauan ini sedang berlaku sekarang ini. Semua manifestasi dari kekacauan ini dapat kita lihat. Setiap hari jika kita memberi perhatian yang rapi maka apa yang kita baca dari akhbar atau ada yang kita dengar dari radio atau lihat dikaca tv – adalah manifestasi dari kekacauan ini. Apa yang dipanggil masaalah sosial itu sebenarnya adalah manifestasi kekacaun nilai manusia Melayu.

Ekonomi kapitalis ini telah menobatkan hak individu lebih tinggi nilainya dari hak orang ramai. Hak individu lebih dihormati dari hak kelompok. Ekonomi kapitalis ini telah membuat ukuran dan rujukan bahawa kesempurnaan hidup dan kejayaan hidup akan dinilai dengan jumlah harta benda yang dimiliki. Susuk tanpa pemilikan akan di cap sebagai susuk yang gagal.

Kerana ini kita lihat manusia Melayu ketika ini dalam keadaan bagitu kacau sekali. Jiwa dan hati nuraninya sedang dirobek-robek oleh keadaan sekeliling. Zaman hidup aman damai tanpa penggunaan wang ringgit yang banyak masih lagi dalam ingatan. Nilai kampong yang penuh dengan berbudi bahasa kini dalam peralihan. Nilai ini sedang bertembung dengan nilai ringgit dan dinar.

Hasil pertembungan ini, sadikit demi sadikit nilai budi murni manusia Melayu terhakis. Sadikit demi sedikit nilai kejujuran yang dimiliki oleh manusia kampong lupus. Kuasa ringgit dan dinar cukup ampoh. Kuasa ringgit dan dolar telah dapat menengelamkan nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh manusia Melayu. Nilai ini mewajibkan manusia Melayu berlumba dan bersaing. Manusia Melayu diwajibkan untuk merebut peluang ekonomi duit ringgit kalau tidak mereka akan dilihat gagal.

Selama lebih dua puluh tahun ini , proses pembudayaan manusia Melayu cukup kacau bilau. Dasar siasah dan ekonomi yang diajukan oleh United Malays National Organistation ini adalah dasar kapitalisma – pasaran terbuka. Kekacauan nilai manusia Melayu ini bertambah parah apabila dalam hal pembudayaan United Malays National Organisation telah memperkukuhkan teras kefeudalan Melayu lama. Simbol dan upucara feudal diperkukuh dikalangan masyarakat Melayu.Ini bertujuan untuk memastikan manusia Melayu tidak akan melarikan diri dari jaringan perangkap politik United Malays National Organisation.

Dari satu segi manusia Melayu diajak masuk ke dalam budaya ekonomi kapitalis pasaran bebas. Dalam satu segi yang lain mereka diperlukan taat setia kepada United Malays National Organisation sebagai payung feudal untuk manusia Melayu berteduh. Kecelaruan ini melahirkan kesakitan yang amat sangat.

Justeru hari ini kita melihat adanya Melayu yang ingin menjadi Arab. Ini adalah jalan senang untuk tafsiran jati diri kemelayuan mereka. Mengikut takrifan mereka menjadi Arab/Melayu/Islam ini adalah benteng pertahanan jati diri dari serangan kapitalis global. Dalam masa yang sama kita melihat Melayu yang gaya hidupnya cukup kosmopolitan yang bebas dari ciri-ciri nilai Melayu tradisional.

Hakikatnya nilai majoriti manusia Melayu hari ini amat kacau. Kejujuran, budi bahasa and tulus ikhlas semakin berkurangan. Ampu bodek dan bermuka muka menjadi budaya harian. Kalau dahulu : Kata akan di kota sebagai pegangan budaya Melayu. Kini kata wajib disadur dengan ringgit dan dolar. Semua ini adalah nilai-nilai yang dilahirkan oleh budaya sistem ekonomi kapitalis.

Pada awal tahun 2010 ini krisis nilai manusia Melayu telah sampai ke satu kemuncak persimpangan. Manusia Melayu di Malaysia pada thun 2010 ini sedang di uji sama ada dalam roh kemelayuan mereka ada atau tidak lagi tersimpan nilai-nilai kejujuran. Apakah manusia Melayu boleh bercakap benar. Apakah manusia Melayu itu akan tahu apa yang hak dan apa yang batil.

Ujian yang saya maksudkan ini ialah ujian yang didatangkan oleh kes Anwar Ibrahim. Kes Anwar Ibrahim yang ke dua ini akan menguji manusia Melayu dengan nilai-nilai kemelayuan mereka hingga ke akar umbi. Saya takrifkan sebagai ujian kerana apabila kes ini dibuka di mahkamah nanti maka seluruh warga Malaysia dapat membaca dan menilai apa sebenaranya disebalik pembicaraan kes Anwar Ibrahim ini.

Manusia Melayu akan diuji sama ada mereka berani berkata benar apabila melihat fakta yang terpampang di hadapan mata mereka. Atau mereka memileh untuk menjadi manusia yang tidak jujur untuk terus menipu diri sendiri kerana kepentingan ekonomi.

Ujian yang akan sampai ini adalah ujian terahir untuk tamadun Melayu. Ujian ini adalah ujian nilai tentang harga budaya bangsa, jati diri bangsa dan masa hadapan tamadun negara bangsa. Di kemuncak persimpangan ini semua manusia Melayu - tua dan muda - wajib melihat dan menilai diri mereka sendiri

Diakhir ujian ini jiwa halus manusia Melayu akan bertanya sendiri apakah maksud kata-kata ini : Bercakap benar didalam sebuah negara yang penuh dengan kezaliman dan penindasan ialah satu jihad. Bercakap benar dalam sebuah negara kuku besi adalah langkah revolusi.

Sumber dari blog Tukar Tiub ( Hishamuddin Rais )

Seminar Satu Malaysia

Assalamualaikum...

Semalam aku telah menghadiri satu program universiti aku yang dinamakan Seminar Wacana Sosial: Satu Malaysia. Seminar bermula pada pukul 8.30 malam. Walaupun malas nak pergi sebenarnya, tetapi disebabkan semangat Satu Malaysia, aku pun pergi jugak.

Yang menariknya, penceramah malam itu ialah Setiausaha Politik (Setpol) Y.A.B Perdana Menteri kita iaitu antara orang penting bagi PM kita. Berbangga juga rasanya (hehehe). Pada malam tersebut, beliau cuba menerangkan apakah peranan mahasiswa dalam menjayakan gagasan Satu Malaysia ni. Banyak juga yang beliau terangkan tetapi yang penting, gagasan ni merupakan satu brand baru atau penjenamaan semula dan ada 8 nilai semuanya. Tapi dalam BI la aku tulis sebab aku tak reti nak terjemah:

1. Perseverance
2. Acceptance
3. Education
4. Integrity
5. Meritocracy
6. Humality

7. Loyalty
8. Culture of Exellence

Tapi, yang pentingnya Satu Malaysia ni kata beliau, untuk memupuk perpaduan antara rakyat kerana di situ merupakan asas kepada negara maju. Satu lagi, gagasan ini mengutamakan prinsip keadilan bukan kesamarataan. Slogannya pula adalah "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Betul atau tak, Wallahualam.

Cuma satu ja kemusykilan aku.
Macam mana nak jawab Salam Satu Malaysia ni kalau orang ucap kat kita ?????
Ada sesiapa yang boleh jawab ?????

Adakah Secara Kebetulan ?????

Untuk mengetahui selanjutnya berkenaan gambar di atas, sila klik SINI

Adakah secara kebetulan ataupun tak, aku tak nak kata apa-apa. Masing-masing punya akal dan fikiran yang waras untuk mentafsirkannya. Bukannya mentafsir dengan akal dan fikiran yang kurang waras.

Bukan untuk mengagungkan sesiapa, tetapi ingin mengagungkan Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam iaitu
ALLAH s.w.t.

"Kepada engkau sahaja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada engkau sahaja kami memohon pertolongan"
-Surah Al-Fatihah: Ayat ke-5-

Jadi, ingatlah semua. Walau hebat mana pun kita di mata manusia, Allah jualah tempat kita memohon pertolongan.


About this blog


jadilah seperti burung terbang di langit yang pandangannya begitu luas dan bukannya katak di bawah tempurung yang pandangannya tidak ke mana

Masa Ibarat Pedang

Menghitung Hari

Temui Aku Di Facebook