Followers

Sembang-Sembang


ShoutMix chat widget

Jenama pilihan di seluruh dunia

PENDERITAAN dan kesengsaraan rakyat Jepun akibat Perang Dunia Kedua menyebabkan rakyat negara tersebut menyimpan keazaman untuk bangkit daripada sejarah hitam.

Perang Dunia Kedua merupakan peperangan paling dahsyat dalam sejarah dunia moden apabila ia mengakibatkan kerosakan harta benda dan mengorbankan kira-kira 50 juta nyawa.

Perang Dunia Kedua itu melibatkan Kuasa Bersekutu (perikatan negara-negara Komanwel, Perancis, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Soviet dan China) serta Kuasa Paksi (perikatan negara-negara Jerman, Itali, dan Jepun).

Bagaimanapun, Perang Dunia Kedua mencatatkan sejarah tersendiri apabila ruang udara dan senjata nuklear digunakan buat kali pertama.

Lebih malang, senjata nuklear telah digunakan dua kali dalam pertempuran semasa Perang Dunia Kedua oleh AS iaitu di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun sehingga meninggalkan kesan mendalam terhadap penduduk negara Matahari Terbit itu.

Rentetan daripada detik hitam itu, sektor teknologi menjadi matlamat pembangunan ekonomi Jepun.

Kegigihan dan sikap tidak mudah putus asa rakyat Jepun bukan sahaja menjadi pendorong kepada mereka melakar nama dalam teknologi bahkan memartabatkan Jepun sebagai salah sebuah negara Asia moden hari ini.

Rakyat Jepun juga boleh berbangga kerana mereka menjadi antara salah satu pengeluar terbesar automotif dunia.

Sejarah automotif di Jepun bermula sejak 1902 apabila Shintaro Yoshida dan Komanusuke Uchiyama berganding bahu dalam perniagaan kecil yang dinamakan Automobile Company atau Otomobiru Shokai yang menghasilkan kereta percubaan dua lejang dengan enjin AS 12 kuasa kuda.

Usaha tersebut diteruskan oleh Torao Yamaba yang menghasilkan automobil wap dua lejang manakala syarikat milik Masujiro Hashimoto telah membangunkan kereta dinamakan Dattogo pada 1912. Kesemua kereta itu adalah kereta percubaan.

Evolusi automotif dari Jepun bermula sebagai pembuat kenderaan secara besar-besaran selepas Perang Dunia Kedua. Dua syarikat gergasi Toyota dan Honda merupakan antara pengeluar yang produktif menghasilkan kenderaan penumpang agar dapat menguasai pasaran besar di seluruh dunia.

Model Corolla dan model Civic pertama pada penghujung 1970-an merupakan detik permulaan penghasilan besar-besaran kenderaan penumpang pada masa itu.


WARGA Jepun bangga dengan pencapaian automatif mereka kerana kenderaan yang dikeluarkan mendapat kepercayaan masyarakat antarabangsa.


Matlamat utama pembuat kereta ini ialah untuk menghasilkan jumlah kenderaan dalam kapasiti besar agar dapat mengurangkan kos dalam pembikinannya.

Kenderaan itu juga dibuat dalam keadaan paling asas iaitu penciptaan enjin yang ringkas tetapi ekonomikal. Berat kenderaan dikurangkan, sistem suspensi dan pengendaliannya sekadar mencukupi untuk pasaran Asia.

Rahsia kejayaan

Dalam pada itu, kejayaan sektor automotif negara tersebut juga banyak berkait rapat dengan dasar dan pelaksanaan yang sentiasa dikemaskini mengikut keperluan semasa oleh kerajaan Jepun.

Ini dibuktikan apabila pihak kerajaan sentiasa mengambil inisiatif menerusi perbincangan dengan pengeluar-pengeluar besar industri automotif untuk mengemaskini peraturan sedia ada agar kereta yang dihasilkan murah untuk dimiliki oleh rakyat Jepun dan selamat sebelum kenderaan tersebut dibenarkan berada di jalan raya.

Jepun merupakan antara negara pengeluar automotif dunia yang menjual kenderaan mereka pada harga paling rendah malah jenama kenderaan milik syarikat automotif Jepun digemari dan menjadi pilihan di seluruh dunia.

Antara jenama-jenama terkenal yang berjaya menembusi pasaran dunia termasuk Toyota, Honda, Mazda, Suzuki, Yamaha, Daihatsu, Hino dan banyak lagi.

Dengan menerapkan konsep pengeluaran besar-besaran menjadikan model bukan eksport atau dikenali sebagai JDM (Japan Domestic Market) sebagai penjana ekonomi domestik mereka.

Konsep yang dipraktikkan itu jelas membawa kejayaan kerana kenderaan yang dijual lebih banyak bagi menyokong pengilang utama.

Selepas tiga atau lima tahun, ia akan dijual semula kepada pelelong kereta untuk dieksport ke negara-negara lain sebagai kereta import terpakai dan bukan menjadi budaya Jepun membeli kereta terpakai.


PRIUS kenderaan penumpang paling laris di Jepun tidak terkecuali daripada krisis penarikan semula di pasaran antarabangsa kerana masalah brek.


Dengan konsep kereta yang ekonomikal dan menjimatkan Jepun cuba memasuki pasaran AS dalam meluaskan lagi pasarannya tetapi label kereta kelas ketiga telah menyukarkan mereka.

Begitupun, syarikat pengeluar automotif Jepun telah menggantikan nama kereta mereka kerana jenama memainkan peranan penting agar mereka dapat menembusi pasaran di AS. Toyota seumpamanya telah diganti dengan nama Lexus manakala Honda ditukar nama Acura.

Percaturan syarikat-syarikat pengeluar itu berjaya menarik minat penggemar automotif di AS sekali gus melonjakkan jenama mereka di persada dunia.

Dalam mengembangkan lagi jenama mereka di pasaran dunia pengeluar automotif itu turut menjalinkan kerjasama dalam memindahkan teknologi dan kemahiran kejuruteraan mereka agar penjualan di dalam dunia dapat melonjak tinggi.

Keselamatan pelanggan

Pengeluar-pengeluar automotif Jepun tidak hanya menumpukan kepada kenderaan penumpang konvensional sahaja tetapi turut membangunkan kenderaan mewah dan sport.

Dengan reka bentuk menarik, terkini dan dilengkapi teknologi canggih kereta-kereta yang dibangunkan itu mula menjadi kegilaan kepada penggemar kereta di seluruh dunia.


SEORANG mekanik memeriksa pedal gas kenderaan sport-utility (SUV) RAV4 Toyota di cawangan wakil pengedar kenderaan tersebut di Shanghai, China.


Pada masa yang sama, pengeluar-pengeluar itu juga tidak terkecuali membangunkan kereta-kereta hibrid yang mesra alam dalam memberi sokongan kepada penjagaan alam sekitar dan pemanasan global melanda dunia hari ini.

Bagaimanapun, kejayaan industri automotif Jepun digemparkan dengan penarikan semula jutaan kereta Toyota akibat kerosakan pedal minyak dan brek di seluruh dunia manakala syarikat Honda mengumumkan penarikan balik sejumlah kereta kerana masalah beg udara keselamatan.

Presiden Toyota, Akio Toyoda berasa amat kesal ekoran penarikan semula jutaan kereta buatannya di seluruh dunia kerana kerosakan pedal minyak selain menegaskan bahawa kenderaan syarikat itu adalah selamat.

Toyota mengaku pihaknya kini berdepan krisis tetapi menganggap keselamatan pelanggan amat penting. Toyota berjaya mengatasi syarikat General Motors pada 2008 untuk menjadi pengeluar kereta terbesar dunia kini berdepan dengan isu kualiti produk yang dikeluarkannya.

"Percayalah, kereta Toyota adalah selamat. Pelanggan didahulukan merupakan keutamaan kami, percayalah," kata cucu pengasas syarikat itu.

Beliau menambah, Toyota telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman bagi mengkaji masalah itu yang menyebabkan AS dan Kongres AS meningkatkan tekanan ke atas syarikat Jepun.

"Berhubung masalah penarikan pedal minyak di AS, Eropah dan China, kerja-kerja persediaan pembaikan sedang dilakukan di pusat-pusat pengedaran kami," kata Toyoda

Ujarnya, Toyota sedang melakukan kajian bagi mengkaji cara untuk menyelesaikan masalah brek Prius hibrid berikutan terdapat ratusan aduan daripada pemandu.

Katanya, bagi kereta-kereta Prius yang kini berada pada tangan pelanggan, beliau mengarahkan supaya satu penyelesaian dilakukan dengan segera.

Beliau juga dilaporkan telah meminta maaf kerana penarikan balik jutaan kereta buatannya di seluruh dunia akibat masalah pedal minyak dan brek.

Walaupun krisis sedang melanda syarikat automotif Jepun, kereta-kereta keluaran syarikat ini terus mendapat sambutan daripada pengguna seluruh dunia.

Ia mungkin disebabkan harganya yang murah berbanding dengan kereta Eropah, ekonomikal, reka bentuk menarik dan pelbagai faktor lain mendorong orang ramai memilih kereta jenama Jepun.

sumber: akhbar kosmo

2 ulasan:

Anonymous May 5, 2010 at 8:27 AM  

THANX INFO NI,.. IT HELPS ME IN FINAL EXAM TODAY,.. AFTER READ YOUR ARTICLE..may ALLAH bless you!

Anonymous May 20, 2010 at 11:03 AM  

tanx gak.kena wat assymen psl ni tp x taw pape psl keta toyota.at least bace ni dpt gmbaran sket.

About this blog


jadilah seperti burung terbang di langit yang pandangannya begitu luas dan bukannya katak di bawah tempurung yang pandangannya tidak ke mana

Masa Ibarat Pedang

Menghitung Hari

Temui Aku Di Facebook