Followers

Sembang-Sembang


ShoutMix chat widget

Info Permotoran 1

Rali medan perkukuh jenama




SELAKU pengeluar kenderaan nasional sesebuah negara, organisasi tersebut memikul tanggungjawab besar untuk mengetengahkan nama dan imej negaranya dalam bidang automotif global.

Apatah lagi jika usia pengeluar tersebut masih muda. Ia perlu berhadapan dengan pemain-pemain lama yang lebih berpengalaman mengenai jatuh bangun industri. Dalam kes ini, Proton Holdings Berhad (Proton) tidak terkecuali.

Meningkatkan kapasiti pengeluaran, menembusi pasaran baru atau harga yang kompetitif merupakan isu lazim buat pengeluar yang mahu menguasai pasaran. Itu hanya statistik dan persembahan dalam perniagaan. Bagi saya, itu soal kedua.

Apa yang penting ialah imej dan kepercayaan terhadap sesuatu jenama. Tanpa kepercayaan atau imej yang utuh, soal kedua sukar untuk direalisasi.

Proton pilih rali

Justeru, pemilihan platform untuk membina imej perlu dilakukan sebaik mungkin. Setiap pengeluar ada pilihan tersendiri. Bagi Proton, sukan bermotor khususnya rali menjadi pilihan.

Satu tindakan yang bijak, meskipun ia membabitkan pelaburan besar dalam menyiapkan sebuah jentera perlumbaan. Kosnya mencecah jutaan ringgit.

Rali merupakan perlumbaan mengejar masa terpantas dalam jumlah pusingan terkumpul untuk menentukan siapa layak berdiri di atas podium. Laluan trek yang diredah juga tidak secantik litar Formula 1 (F1).

Tanah merah, gambut, kelikir, salji dan ais, debu serta lumpur adalah dunianya. Inilah makmal eksperimen terbaik untuk menguji kemampuan serta daya tahan sesebuah kenderaan.


BORANG ramai tidak melepaskan peluang melihat sendiri Satria Neo S2000.


“Kami mahu memahami apa yang boleh dipelajari daripada sukan bermotor untuk menjadikan kereta kami lebih baik.

“Bukan kami akan menggunakan semua data yang diperolehi. Tetapi sekurang-kurangnya jurutera kami dapat mendalami apa yang diperlukan untuk menghasilkan kenderaan berprestasi.”

Demikian ulasan Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir ketika mengunjungi kem Proton di Kejohanan Rali Malaysia 2011 (MRC 2011) bertempat di Plaza Angsana, Johor Bahru baru-baru ini.

Beliau turut mengakui bahawa sukan rali merupakan pentas yang mampu mengubah persepsi terhadap jenama Proton. Pada masa yang sama bertindak selaku ejen promosi.

“Mungkin ketika ini Proton dilihat sebagai kereta yang rendah, murah dan sebagainya. Kita perlu mengubah persepsi jenama. Pembabitan dalam sukan bermotor adalah satu-satunya cara untuk mengubahnya.

“Sukan bermotor mengaitkan syarikat dengan prestasi, ketepatan dan teknologi tinggi. Pada masa hadapan, apabila umum melihat Proton, ia akan memberi tafsiran berbeza.

“Tanpa kami sedari juga, sudah ada banyak kenderaan Proton dalam rali. Mengapa kenderaan Proton dan bukan kenderaan lain? Mungkin sebab ia mampu dimiliki. Tetapi saya merasakan model Satria Neo dan Putra dibina berdasarkan karakteristik pemanduan dan pengendalian,” jelasnya.

MRC 2011 yang berlangsung serentak dengan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) pada tahun ini menyaksikan penyertaan sebanyak 18 buah kereta Proton. Empat jentera digunakan oleh pasukan Proton Motorsport dan Proton Cusco. Selebihnya ialah pasukan pesaing.

Kemampuan Neo

Proton Motorsport menggunakan Satria Neo S2000 yang dipandu oleh Chris Atkinson dan Alister McRae. Dua nama yang tidak asing dalam dunia rali. Proton Cusco Rally Team pula menggunakan jentera Satria Neo 1,600cc. Pemandunya ialah Akira Bamba dan Kosuke Takashino.

Penyertaan kedua-dua pasukan dengan model hatchback dua pintu tersebut meningkatkan imej dan jenama Proton. Atkinson bersama juruarah, Stephane Prevot, merekod masa keseluruhan 3 jam 14 minit 49.3 saat dan ditabalkan sebagai juara MRC 2011. Rakan sepasukannya, McRae dan juruarahnya, Bill Hayes pula muncul sebagai pemenang tempat ketiga dengan catatan masa 3'23:37.5s.


PASUKAN Pennzoil GSR Racing Team turut menggunakan model Satria.


Hari kedua kejohanan MRC 2011, Atkinson berlumba tanpa brek tangan. Namun masalah itu berjaya diselesaikan pada keesokan harinya.

Lebih menarik lagi ialah nasib McRae. Keretanya mengalami masalah enjin overheating. Beliau terpaksa menggunakan jentera dengan 278 kuasa kuda itu selama dua hari bersama unit radiator yang rosak. Sebenarnya Neo S2000 menggunakan enjin Waja 1.8L buatan Renault. Agak luar biasa pencapaiannya.

Untuk pasukan Proton Cusco pula, Bamba dan Takashino berjaya menempatkan diri pada kedudukan kelapan dan kesembilan MRC 2011. Meskipun begitu, kedua-dua pemandu Jepun itu muncul juara dan naib juara bagi kategori APRC Junior Cup.

Kenderaan pasukan Proton Cusco menerima sentuhan daripada syarikat talaan (tuner) gergasi Jepun, Cusco. Syarikat yang terkenal dengan produk suspensi itu membeli kereta-kereta standard Satria Neo dan menjadikannya sebagai sebuah kereta rali. Jentera modifikasi Cusco kemudian dijual kepada pasukan-pasukan rali.

Perlu diingat, Proton tidak pernah memasarkan model Neo ke Jepun. Inilah antara kelebihan rali. Kerjasama dapat dijalin, kepercayaan dilahirkan dan pasaran baru berjaya diterokai. Lihat sahaja statistik pencarian Proton S2000 dalam Google, angkanya sudah menghampiri empat juta carian.

Hatchback baru?

Syed Zainal menyatakan menerusi sukan bermotor, banyak anugerah berjaya diraih ekoran penambahbaikan pada model Satria.

Tanpa sukan bermotor atau Satria Neo S2000, perkara ini tidak mungkin berlaku. Mengetengahkan model Satria Neo adalah pilihan logik seperti yang dilakukan oleh pengeluar jentera dua pintu lain termasuk Skoda, Peugeot, Volkswagen dan Ford. Jangan lupa, Satria juga mewarisi DNA pemanduan dan pengendalian Lotus.

“Kami akan membina generasi baru hatchback dan saya tidak mengatakan ia pengganti kepada model Satria Neo. Lihat sahaja pasaran hari ini, ia sudah beralih kepada model sporty hatchback dua pintu. Misalnya Subaru.

“Jika trend itu sudah dikenal pasti, kami sebagai pengeluar kenderaan mesti membangunkannya. Kami tidak mahu bergantung kepada model yang angka jualannya cuma di antara 100 hingga 200 unit sebulan. Tetapi perlu memiliki tarikan kuat untuk pasaran biasa,” jelasnya.

Kosmo! Online

2 ulasan:

inspirasi arjuna April 20, 2011 at 1:17 PM  

aiiii...harga mahal tp design fail

pengembara _cahaya April 21, 2011 at 3:09 PM  

aku rasa macam tu jugak..design agak fail sikit..tapi laku kot sebab kalau tak silap bahagian enjin dia terbaik setakat ni yang malaysia ada..

About this blog


jadilah seperti burung terbang di langit yang pandangannya begitu luas dan bukannya katak di bawah tempurung yang pandangannya tidak ke mana

Masa Ibarat Pedang

Menghitung Hari

Temui Aku Di Facebook